Sindiket menjual bayi kini kembali lagi. Ibu yang tidak mahukan anak dan dibantu oleh doktor menjalankan kegiatan ini dan menjual bayi kepada ibu bapa yang memerlukan anak. Baru-baru polis menyelamatkan seorang lagi bayi perempuan, dipercayai mangsa sindiket jual beli bayi yang ditumpaskan dalam Ops Kasih sejak Khamis lalu, menjadikan jumlahnya tiga lelaki dan dua perempuan setakat ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, bayi tiga bulan itu ditemui bersama pasangan yang dipercayai menjadi keluarga angkatnya di Pontian petang kelmarin, hasil siasatan susulan Ops Kasih. Bayi itu sudah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi menjalani ujan DNA, manakala pasangan ibu bapa angkatnya ditahan bagi membantu siasatan.
Sejak melancarkan Ops Kasih 22 Mei lalu, polis sudah menahan 31 individu yang dipercayai terbabit dalam sindiket jual beli bayi berkenaan dengan 16 daripadanya dibebaskan manakala 15 yang lain direman bagi membantu siasatan. Seramai 11 daripada mereka dibebaskan dengan jaminan polis, tiga dibebaskan tanpa syarat selepas direman, manakala dua lagi dibebaskan selepas keterangan diambil. "Daripada 15 individu yang direman, 14 direman sehingga esok (hari ini) manakala seorang direman sehingga Khamis," katanya yang menjelaskan polis sedang melengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan susulan.
Kes itu disiasat mengikut seksyen 48(1) Akta Kanak-kanak 2001 (pemindahan/milikan/jagaan/kawalan kanak-kanak dengan menyalahi undang-undang) yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, dan Seksyen 466 Kanun Keseksaan (pemalsuan rekod mahkamah/ dasar beranak awam).
Mohd Mokhtar berkata, polis masih menunggu keputusan DNA bagi menentukan ibu bapa sebenar semua bayi berkenaan dan percaya lebih banyak penahanan akan dibuat selepas mendapat maklumat tambahan berkaitan sindiket itu.
Turut ditahan dalam operasi Khamis lalu ialah doktor yang beroperasi di sebuah klinik swasta di pusat bandar raya ini, isteri kakitangan serta pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dipercayai memalsukan dokumen bayi berkenaan serta pasangan yang menjadi pelanggan sindiket itu. Dalam serbuan di klinik itu, polis turut menemui beberapa fail dokumen yang menjadi bukti berlaku jualan dan pembelian bayi oleh sindiket berkenaan selain merampas komputer dan komputer riba, telefon bimbit, wang tunai RM4,000, beg, kad perniagaan serta beberapa dokumen.
Difahamkan, sindiket terbabit menjual bayi dengan harga antara RM10,000 hingga RM20,000 bergantung kepada jantina serta bangsanya kepada pasangan yang terdesak ingin menimang cahaya mata. Polis juga sebelum ini dilaporkan sedang menyiasat kemungkinan sindiket itu turut menjual bayi kepada rakyat asing di luar negara walaupun setakat ini maklumat awal mendapati hanya warga tempatan menjadi pelanggan mereka.
Maka dalam hal ini, kita hendaklah berkerjasama dengan pihak polis untuk menghalang kegiatan yang tidak berperikemanusiaan supaya anak-anak ini tidak terus teraniaya.