Ahad, 27 Julai 2008

TAHNIAH TINDAKAN TEGAS KERAJAAN BN

Tahniah kepada kerajaan BN kerana bertindak tegas dalam menangani kereta Mercedes kerajaan Terengganu apabila tindak membenarkan digunakan kereta-kereta itu untuk kegunaan pemimpin dan exco negeri Terengganu.
Sebagai rakyat, kita tidak mahu pemimpin-pemimpin yang dipilih oleh rakyat cuba menonjolkan kekayaan dan kedudukan mereka yang seolah-olah mahu mengosang arus sedangkan rakyat di bawah mereka mengikat perut kerana kemelesetan ekonomi akibat kenaikan harga minyak yang mendadak.
Jika kerajaan BN tidak bertindak dari sekarang maka perasaan tidak puas hati rakyat akan terus merebak dan kerajaan BN akan menerima nasib yang serupa pada pilihanraya yang lalu apabila rakyat memberi isyarat yang jelas.
Oleh itu semua pemimpin kerajaan hendaklah patuh kepada peraturan dan jangan hanya mahu menonjolkan kedudukan sendiri tanpa memikirkan kepentingan rakyat yang paling utama.

Isnin, 21 Julai 2008

NEGERI TERENGGANU MEMBAZIR WANG

Nampaknya kerana ingin menjaga imej, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said membeli 14 kereta Mercedes E200 untuk kegunaan ahli Exconya. Walaupun demikian beliau menafikan pembelian 14 kereta Mercedes E200 Kompressor bernilai RM3.43 juta sebagai kenderaan rasmi baru anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri menggunakan wang royalti minyak.

Sambil mempertahankan pembelian kereta itu, beliau berkata, ia sudah lama dirancang bagi menggantikan penggunaan Proton Perdana V6 Executive bertujuan menjimatkan perbelanjaan tahunan.

‘‘Pembeliannya menggunakan peruntukan yang sudah disediakan sebelum ini. Ia tidak libatkan royalti minyak. Bagaimana hendak guna wang royalti minyak sedangkan kita belum menerimanya daripada Kerajaan Pusat?” katanya selepas tahlil sempena Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin ke-46 di Istana Maziah di sini hari ini.

Ahmad berkata, kerajaan negeri terpaksa membuat pembelian tersebut ekoran kos penyenggaraan Proton Perdana terlalu tinggi kerana mudah rosak dan tidak tahan untuk perjalanan jauh.

Kita bukan mempertikaikan kenderaan untuk kegunaan rasmi Exco tetapi wang sebanyak itu boleh digunakan untuk membantu rakyat yang kini kesempitan kerana kenaikan harga minyak yang mendadak itu. Maka sedarlah wahai ahli berhormat, pemilihan anda bukan untuk duduk bersandar di kereta mercedes tetapi untuk berkhidmat untuk rakyat.

Khamis, 17 Julai 2008

KONTRAK SOSIAL MASIH DIPERTIKAIKAN

Majlis Peguam Malaysia baru-baru ini membidas kelantangan Utusan Malaysia yang telah mengkritik mereka di dalam isu kontrak sosial.

Nampaknya seolah-olah Majlis Peguam cuba menyekat kebebasan akhbar yang kononnya mereka perjuangkan. Jika Utusan Malaysia tidak berbuat demikian, maka rakyat akan mudah terpengaruh dan memungkinkan orang Melayu dinafikan hikmat kontrak sosial itu.

Sepatutnya Majlis Peguam menumpukan perhatian mereka kepada isu-isu mahkamah seperti kes-kes yang banyak tertunggak daripada membicarakan kontrak sosial yang kini telah membuktikan hasilnya yang cemerlang dalam membantu kemajuan dan pembangunan negara untuk semua kaum di Malaysia.

Maka diharapkan di masa depan kontrak sosial ini tidak dijadikan isu kerana ia boleh menghiris perasaan orang Melayu yang kini pun sudah lama terhiris.

Selasa, 15 Julai 2008

KECEWA PKR BERDAMPING DENGAN DAP

Tindakan PKR bersekonkong dengan DAP untuk mencabar kepimpinan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi amat mengecewakan. PKR yang mengemukakan supaya Perdana Menteri Pak Lah hilang kredibiliti sebagai Perdana Menteri, cuba mengenepikan sokongan sebahagian besar rakyat Malaysia terhadap Pak Lah.
Inilah bukti bahawa PKR akan bertindak tidak kira apa kesannya kepada bangsa Malaysia khususnya kepada kaum Melayu semata-mata untuk menjayakan agendanya untuk Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia yang baru.
Buktikan dulu bahawa Anwar Ibrahim menerima sokongan besar rakyat Malaysia dalam pilihanraya akan datang, bukannya mencuri dan membeli wakil rakyat Barisan Nasional.
Berhati-hatilah dengan tindakan PKR ini. Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Selasa, 8 Julai 2008

KUMPULAN UNDERGROUND MEROSAKKAN BANGSA

Kumpulan underground iaitu Carburetor Dung telah merosakkan muzik kumpulan underground yang lain lantaran tindakan tidak bersopan vokalis kumpulan itu yang telah melodehkan seluarnya dan menalakannya kepada penonton.
Akibat tindakannya yang keterlaluan itu, Alak vokalis telah dibelasah oleh penyokong pemimpin pembangkang kerana menyanyikan lagu "Mari Nyanyi Menjilat" di satu persembahan sempena Protes Sejuta Rakyat di Stadium Kelana Jaya, Petaling Jaya pada 6 Julai 2008.
Memang patutlah Alak dibelasah oleh penyokong Parti Keadilan kerana ia melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disayangi oleh penyokong-penyokong ini.
Maka diharapkan kejadian ini tidak berulang lagi dan penyokong-penyokong pembangkang hendaklah berkerjasama dengan parti yang memerintah demi kemakmuran dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.